Sunday, June 28, 2009

Sohaimi Mior Hassan - Satu Pengenalan (Prolog)


Sohaimi Mior Hassan - Satu Pengenalan Sohaimi Mior Hassan telah dilahirkan di Bruas, Perak sewaktu negara diambang kemerdekaan. Beliau mula menulis lagu sewaktu berada di United Kingdom menjalani kursus Weapon Electronics Engineering.
Beliau banyak sekali mencipta lagu yang bercorak folk-rock dan rock blues.
Ketika di sana, dalam kesempatan yang terluang, Sohaimi telah berkesempatan menimba pengalaman sebagai penyanyi jalanan dan juga di pub. Pada tahun 1979, lagu ciptaannya 'Rhythms In My Bone' telah memenangi lagu terbaik anjuran Fridaybridge Youth Camp, Cambridge.
Setelah pulang ke Malaysia, Sohaimi memperolehi satu lagi kejayaan gemilang. Beliau telah
memenangi lagu terbaik anjuran Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC). Lagu tersebut ialah lagu 'Lagu Untuk Katherine Hardhill' yang telah pun ditukar nama kepada 'Epilog Cinta dari Bromley' dalam album Prolog ini.
Anak muda ini menyebatikan seni di dalam diri, seorang anak muda yang mempunyai keistimewaan. Sohaimi
amat sayang dengan puisi dan muzik, sekaligus adalah penyair/penyanyi.
Sohaimi Mior Hassan adalah seniman dari alam yang punya rasa dan kesan mendalam pada alam. Ia
ingin menceritakan tentang suasana dan keadaan dalam kebanyakan hasil seninya. Semuanya berkait tentang kehidupan dan alam kerana alam itulah sumber penciptaannya.
Sebagai seniman yang sensitif pada alam dan kehidupan, lagu-lagu yang terkandung di dalam album Prolog ini
terbitnya dari fikiran Sohaimi yang ingin dicurahkan untuk kita fikirkan bersama. Sewaktu album ini diterbitkan, Sohaimi sesungguhnya dalam kembara yang jauh, menimba ilmu dan pengetahuan di Wilhemshaven, Germany.
Marilah sama-sama kita nikmati puisi-puisi yang telah disuarakan dalam bentuk lagu yang begitu nyaman
didengar. -Petikan dari LP Prolog